2011/02/25 (Berita Harian)
KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Illani Ishak yang meninggal dunia, pagi semalam, akibat barah payu dara yang dihidapinya sejak tiga tahun, disifatkan anaknya sebagai seorang yang cekal dan komited mempromosikan hubungan antara agama di Malaysia.
Anak lelaki sulung Allahyarham, Adil Akbar, 27, menyifatkan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia yang diadakan di Putrajaya, 14 Februari lalu, sebagai sumbangan terakhir ibunya selaku Pengerusi Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Agama, jawatan yang disandangnya sejak Januari tahun lalu.“World Harmony Week yang disarankan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) yang dihadiri Perdana Menteri dan berjaya diadakan di negara ini adalah kerja amal terakhir ibu,” katanya mengulas komitmen ibunya terhadap isu hubungan antara agama di negara ini.
Adil berkata, ibunya disahkan meninggal dunia jam 6.05 pagi semalam, selepas dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), pada 23 Januari lalu akibat sesak nafas sebelum keadaannya semakin merosot.
Bekas Exco Wanita UMNO berusia 58 tahun itu meninggalkan suami, Adam Camille Rustun Mohd Ibrahim, 60, dan empat anak iaitu Farah Naz, 30; Aman Akbar, 25, dan Amir Abdul Kahar, 17 serta Adil.
Antara kenamaan yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan pemimpin badan agama serta pertubuhan bukan kerajaan.