Lima sekeluarga mahu ke majlis bertunang maut

NADATUL Isma yang cedera parah dalam nahas dua kereta di Kilometer  81.5, Jalan Johor Bahru-Mersing sempat melihat mayat anak (ditutup plastik kuning) dan  ibunya (atas sekali) sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, semalam.

NADATUL Isma yang cedera parah dalam nahas dua kereta di Kilometer 81.5, Jalan Johor Bahru-Mersing sempat melihat mayat anak (ditutup plastik kuning) dan ibunya (atas sekali) sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, semalam.
KOTA TINGGI: Lima daripada satu keluarga maut selepas Proton Wira yang dinaiki bertembung dengan sebuah kereta Mercedes-Benz, di kilometer 81.5, Jalan Johor Bahru-Mersing , dekat Felcra Sungai Ara di sini tengah hari semalam.

Dalam kemalangan jam 1.30 tengah hari itu, Md Azhar Ali Seman, 39, yang memandu kereta, kakaknya Zabidah, 49; dan cucu Zabidah, Puteri Alya Batisha Mohd Fadzely yang berusia dua bulan, meninggal dunia di tempat kejadian.
Isteri Md Azhar, Noraini Norzaini, 27, yang mengandung lapan bulan, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kota Tinggi (HKT), manakala anak Zabidah, Adriana Balqis Md Isa, 6, meninggal dunia jam 5 petang ketika rawatan di unit kecemasan hospital.
Ibu Puteri, Nadatul Isma Isa, 24, pula patah tangan kanan, luka dahi serta kening, manakala anak Md Azhar, Nazrul Haikal, 6, patah tangan kanan dan dirawat di Hospital Sultan Ismail.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot, berkata kereta yang dinaiki tujuh orang itu dalam perjalanan ke Johor Bahru untuk menghadiri majlis pertunangan saudara mereka di Kangkar Pulai, hari ini.

Apabila tiba di tempat kejadian, kereta Mercedes dari arah Johor Bahru-Mersing dipercayai hilang kawalan di selekoh dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta mangsa.

“Proton Wira itu berpusing sebelum terbabas ke dalam gaung sedalam tiga meter. Pemandu Mercedes patah kaki kanan dan menerima rawatan di Hospital Mersing, manakala isteri dan dua anaknya cedera ringan,” katanya.
Beliau berkata, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan akan menahan reman pemandu Mercedes Benz bagi siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Sementara itu, bapa Puteri Alya Batisha, Mohd Fadzely Aziz, 28, yang menetap di Rompin, Pahang, berkata beliau menemui anaknya kali terakhir di Felda Keratong, di Pahang seminggu lalu, namun tidak menyangka hasrat menyambut hari jadi isteri bersama anaknya Rabu ini tidak kesampaian.

Mohd Fadzely yang bekerja sebagai pemandu lori, berkata sejurus dimaklumkan kejadian jam 3 petang, beliau terus ke tempat kejadian dan melihat keadaan Proton Wira dinaiki anak serta isterinya.

“Sebaik melihat keadaan kereta yang hancur, saya dapat rasakan isteri dan anak sudah tiada. Luluh hati saya melihat Puteri ketika pengecaman waris di Rumah Mayat HKT. Namun, saya bersyukur isteri masih ada,” katanya yang mengakui sukar melelapkan mata dan gelisah teringatkan anak serta isteri pada malam sebelum kejadian.

Sementara itu, Nadatul Isma, sempat melihat jenazah ibu dan anaknya ketika diusung melalui Rumah Mayat sebelum menaiki ambulans ke HSI untuk rawatan lanjut.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Perantau Damai, Muadzam Shah, Pahang, tempat asal mereka selepas Zuhur hari ini.

Sumber Berita Harian Online

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s