Osteoporosis Penyebab Hilang Upaya Kekal (TPD)

Di Malaysia, penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, barah payu dara, barah serviks dan sakit jantung merupakan antara penyakit kronik yang banyak membawa maut.

Tetapi bagi wanita yang mencecah umur 45 tahun (perempuan) atau telah menopaus dan 50 tahun bagi lelaki, anda sepatutnya menjadi lebih prihatin dengan tahap kesihatan kerana selain penyakit tersebut, terdapat sejenis lagi penyakit yang mampu membawa maut.

Ini tidak bermakna setiap kali pemeriksaan kesihatan dilakukan anda cuma memeriksa tahap kandungan gula dalam darah, tekanan darah, jantung serta beberapa lagi pemeriksaan kesihatan yang lain kerana tanpa anda sedari, anda mungkin mengalami penyakit tulang rapuh.

Walaupun penyakit ini hanya dialami oleh golongan tua terutama wanita dan juga dikatakan sebagai ‘penyakit senyap’, tetapi ia sebenarnya merupakan satu penyakit yang diklasifikasikan sebagai penyakit kronik.

Menurut Presiden Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur (OASKL), Dr. Lee Joon Kiong, penyakit tulang rapuh yang dihidapi golongan wanita hari ini makin membimbangkan.

”Penyakit ini lebih mudah dialami wanita menopaus kerana ovarinya berhenti menghasilkan estrogen, iaitu hormon yang mempertahankan kepadatan jisim tulang.

”Bagi wanita yang mengalami menopaus, risikonya adalah dua kali ganda kerana disebabkan hubungan selari di antara estrogen dan ketumpatan tulang.

”Ketumpatan tulang akan menurun bersama-sama tahap estrogen yang semakin berkurangan,” ujarnya ketika ditemui di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Tambah beliau, oleh kerana kehilangan jisim tulang berlaku tanpa sebarang tanda, osteoporosis biasanya tidak dapat dikenal pasti beberapa tahun lamanya sehingga seseorang itu mula mengalami masalah keretakan atau patah tulang.

Akibatnya, individu berkenaan semakin kurang ketinggiannya, rasa sakit dan tubuh membongkok.

Tulang merupakan struktur hidup dan memerlukan tenaga (makanan) berterusan untuk mengekalkan bentuk dan fungsinya.

Ia mempunyai dua lapisan iaitu lapisan luar yang keras dan kuat (corticol) dan bahagian dalam yang lembut (trabecular).

Dalam kes ini, tulang akan melalui perubahan berterusan dan boleh diganti secara semula jadi sekiranya rosak, tetapi semakin kita berusia, kemampuan itu akan berkurangan malah proses penggantian lebih lambat daripada kerosakan yang dialami.

Tulang bukan sahaja berperanan melindungi organ yang penting, tetapi juga menyediakan struktur sokongan untuk otot serta menyimpan keperluan kalsium untuk kepadatan dan kekuatan tulang.

Terang Dr. Joon Kiong lagi, masa terbaik untuk memulakan pembinaan tulang ialah ketika usia remaja hingga ke usia 30 tahun, iaitu saat pembinaan dan penyimpanan kepadatan tulang berada pada tahap paling baik dan berkesan.

Berbanding lelaki, keadaan ini lebih ketara di kalangan wanita pada nisbah empat (wanita) perseorang (lelaki) terutama wanita yang telah menopaus disebabkan kadar hormon estrogen yang semakin menurun.

Bagaimanapun di Malaysia, dianggarkan satu juta orang berhadapan risiko untuk menghidapi osteoporosis.

”Apabila osteoporosis berlaku, ia akan menyebabkan tulang menjadi lemah, mudah patah, struktur tulang belakang akan berubah dan tidak mampu menampung bebanan berat.

”Tulang-tulang yang sering diserang masalah ini ialah tulang belakang yang menyebabkan tubuh seseorang itu membongkok serta tulang tangan dan tulang pinggul yang berfungsi menyokong berat badan seseorang,” katanya yang juga merupakan doktor pakar pembedahan ortopedik.

Dalam masa yang sama, ujar Dr. Joon Kiong, hampir 25 peratus daripada pesakit keretakan tulang pinggul meninggal dunia dalam tempoh satu tahun sementara kira-kira 50 peratus pesakit akan hilang upaya kekal.

Sumber: Arkib Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s