Luahan seorang bapa

KENAPA SAYA PILIH HOSPITAL PAKAR SWASTA

SAYA rasa terpanggil untuk memberikan sedikit pandangan terhadap isu pesakit kronik yang hangat diperkatakan sekarang. Sebagai seorang bapa kepada pesakit kronik (bapa kepada Raziq Haiman Mohamad Rafi) rasa terkilan dan duka cita dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Ming, di dalam Mingguan Malaysia kelmarin mengenai “Tidak perlu rayu sumbangan”.

Saya tidak menafikan kepakaran dan kebolehan doktor pakar di hospital kerajaan yang boleh melakukan pembedahan untuk pesakit kronik dengan kos yang begitu rendah jika dibandingkan dengan kos di hospital swasta. Tetapi saya ingin menegaskan bahawa bukan semua pembedahan kes kronik dapat dilakukan di hospital kerajaan.

Sebagai rakyat Malaysia, saya tidak pernah mempertikaikan kepakaran pihak hospital kerajaan, malah selama setahun Raziq menghidap penyakit jantung complex cyanotic heart disease, saya membawa Raziq untuk rawatan di hospital kerajaan seperti Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Saya mengharapkan pihak hospital kerajaan ini dapat membantu saya untuk merawat dan mengubati Raziq sehingga sembuh.

Tetapi doktor pakar dari Jabatan Pediatrik Kardiologi IJN sendiri mengesahkan bahawa pembedahan untuk Raziq tidak dapat dilakukan di IJN disebabkan oleh beberapa perkara. Antaranya pembedahan Raziq berisiko tinggi, keputusan (keadaan jantung) selepas pembedahan masih kurang baik, terlalu banyak kes pembedahan yang terpaksa IJN hadapi, polisi IJN tidak membenarkan untuk melakukan pembedahan ini dan masalah kepakaran IJN itu sendiri.

Kesemua perkara ini adalah jawapan yang diberikan oleh doktor pakar di IJN semasa rawatan susulan diadakan pada 27 Jun 2002. Doktor pakar di IJN sendiri telah mengesyorkan supaya Raziq dibawa dan mendapatkan kepakaran di hospital swasta.

Setelah mendapatkan semua nasihat dan pilihan yang diberikan oleh IJN, maka saya telah menemui doktor pakar di sebuah hospital swasta pada 9 Julai 2002. Doktor pakar di hospital swasta telah memberikan harapan untuk Raziq pulih sepenuhnya selepas menjalani tiga kali pembedahan. Apa yang menjadi halangan kami ketika itu adalah kos yang perlu disediakan di luar kemampuan kami.

Cuba bayangkan keadaan kami ketika itu, sebuah hospital yang tidak langsung memberikan harapan dan sebuah hospital lagi memberikan harapan untuk pembedahan jantung anak saya. Sudah semestinya, sebagai ayah kepada seorang bayi, saya akan melakukan apa saja untuk mencari jalan menyelamatkan nyawa anak saya.

Ajal maut adalah di tangan Tuhan, kita merancang tapi Tuhan akan menentukan segalanya. Apa yang paling penting adalah usaha kita, tanggungjawab kita, kesungguhan kita, doa kita untuk menyelamatkan anak kita. Sebagai manusia biasa dan seorang ayah hanya dapat berusaha dan berdoa kepada Tuhan untuk memanjangkan usia anaknya.

Sebagai seorang ayah yang terpaksa mengharungi pelbagai dugaan dan rintangan dan terpaksa pula menagih simpati serta sumbangan orang ramai, saya rasa amat terkilan dengan kenyataan Menteri Kesihatan.

Rayuan sumbangan untuk pembedahan jantung anak saya bukanlah untuk kita mengumpul kekayaan, wang diterima adalah wang rakyat Malaysia yang sangat prihatin, wang itu untuk menanggung kos pembedahan.

Saya ingin menyentuh sedikit kisah yang menyayat hati berhubung nasib Sofea Qhairunnisa. Jika seorang ayah diberi pilihan untuk menjalani pembedahan dengan kos RM500 dengan diberikan harapan untuk sembuh 70 peratus dibandingkan dengan kos RM265,000 dengan harapan sembuh 90 peratus, yang mana satukah pilihan seorang ayah?

Seorang ayah akan mengutamakan peratusan sembuh bukannya kos menjadi pilihan dalam situasi tersebut.

Walau berapa pun kos perubatannya, seorang ayah akan berusaha untuk mendapatkannya – merayu simpati dan meminta sumbangan adalah jalan terakhir yang akan dilakukan oleh seorang ayah. Kami bukan golongan yang suka meminta-minta tetapi kami golongan kurang berkemampuan untuk membiayai kos rawatan yang amat tinggi.

Menyentuh mengenai Raziq Haiman, dia memerlukan sekurang-kurangnya RM100,000 untuk kos pembedahan sahaja tidak termasuk rawatan susulan dan sebagainya. Sebagai ayah kepada Raziq, saya sangat khuatir tentang tarikh pembedahan yang sentiasa ditangguhkan oleh pihak hospital swasta.

Raziq yang dijadualkan menjalani pembedahan pada 14 dan 16 Ogos lalu telah ditunda oleh pihak hospital swasta pada 20 dan 21 Ogos kemudian ditunda lagi pada 21 dan 23 Ogos dengan alasan doktor pakar bercuti.

Malangnya pada 21 dan 23 Ogos pembedahan tidak dapat dilakukan kerana kesihatan Raziq tidak mengizinkan (demam, batuk dan selesema). Pada 28 Ogos, Raziq telah menjalani rawatan Cardiac Catherization dan pembedahan jantung dijadualkan pada 19 September, pihak hospital tidak dapat melakukan pembedahan lebih awal kerana jadual bilik bedah di hospital telah penuh.

Di sini sekali lagi menjadi kemusykilan kami tentang kos rawatan di hospital swasta, kos yang dijangkakan untuk rawatan Cardiac Catherization ialah RM4,000 tetapi telah meningkat kepada RM7,022.50.

Memandangkan kos perubatan di hospital swasta yang tidak seperti yang dijangkakan (jangkaan kos dibuat oleh doktor pakar hospital itu sendiri), saya amat bersetuju dengan gesaan Ketua Unit Pengaduan Awam Pemuda UMNO, Subahan Kamal supaya pihak yang bertanggungjawab menetapkan kadar rawatan di hospital swasta dengan kadar yang munasabah.

Perlu ada satu jalan penyelesaian di antara pihak kementerian dan pihak hospital swasta untuk mengemukakan satu garis panduan kos-kos perubatan yang difikirkan paling munasabah pada masa kini. Ñ MUHAMAD RAFI PALOLI MOIDUTTY, Klang, Selangor.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s